Ciri-Ciri Calon Suami Yang Baik Menurut Islam
Pemilihan seorang wanita bagi mencari bakal suami yang memiliki ciri-ciri calon pilihan suami yang baik menurut Islam adalah sukar sebenarnya. Memang benar bahawa jodoh dan pertemuan itu takdir dan ketentuan Allah سبحانه وتعالى. Namun ketentuan ini tidak menafikan usaha dan ikhtiar.
Syaidatina Aisyah r.ha. berkata, “Pernikahan hakikatnya adalah penghambaan, maka hendaknya dia melihat dimanakah kehormatannya akan diletakkan.”
Berikut adalah ciri-ciri calon pilihan suami yang baik menurut Islam:
1. Berkemampuan
Lelaki yang berkemampuan sebagaimana hadis Rasulullah ﷺ Riwayat Ahmad Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah :
“Wahai permuda-pemuda; sesiapa di antara kamu bernikah, maka hendaklah ia bernikah, yang demikian itu amat menundukkan pandangan dan amat memelihara kehormatan, tetapi sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu menahan nafsu.”
Mampu yang dimaksudkan, berupaya menyediakan tempat tinggal, saraan hidup yang kebiasaan, serta pakaian untuk menutup aurat. Seperti memberi makan dengan apa yang dia (suami) sendiri makan, memberi pakaian dengan apa yang dia sendiri pakai. Bukan bermaksud memberi pakaian lelaki kepada isterinya, tetapi taraf kualiti sesuatu itu, yang diperuntukkan untuk dirinya, itulah yang diperuntukkan untuk isterinya juga. Maknanya lelaki yang bertanggung jawab. Perkara-perkara ini wajib dilaksanakan suami dan kegagalan menyempurnakannya boleh mendatangkan kesan buruk dan mudah berlaku perceraian.
2. Tidak Dayus
Lelaki yang sanggup menjadi pembela pasangannya. Boleh dijadikan sebagai ganti ayah bonda. Sanggup melindungi perempuan daripada segala bahaya dan kecelakaan yang menimpa kerana apabila seorang wanita rela dinikahi dan menjadi isterinya, bererti ia rela melepaskan dirinya daripada ayah bonda yang selama ini menjadi tempat pergantungan hidup. Kini berpindah kepada lelaki yang bakal menjadi suaminya.
3. Baik
Pandai menjaga darjat diri dan menepati janji, apabila berkata dikota dan diamalkan. Selain daripada itu suami yang baik akan sentiasa mengajak isteri ke arah kebaikan, menjauhkan yang mungkar dan mendahului perbuatan itu.
4. Tidak Membebankan
Berkebolehan di dalam urusan rumahtangga. Kebolehan memasak, menjahit juga membasuh akan membantu kerana lelaki yang biasa membuat kerja begini, tidak akan membebankan isterinya membuat kerja rumah sekiranya isteri tiada kemampuan. Bukan dari jenis lelaki yang tidak bertimbang rasa, yang sentiasa memerintahkan isterinya itu dan ini tanpa mengira isterinya sakit atau kepenatan. Kelebihan ini juga bukan jalan kepada pihak isteri untuk mengambil kesempatan dan mesambil lewakan layanannya kepada suami.
5. Mempercayai Isteri
Mempunyai penuh kepercayaan kepada perempuan dan tidak mudah bersikap ‘suuzon’ iaitu tidak bersangka buruk terhadap isteri. Biasanya apabila suami bertugas mencari nafkah maka isteri akan menjaga segala amanah harta dan anak di rumah. Sekiranya suami tidak mempunyai kepercayaan kepada isteri, ini bererti suami akan sentiasa menyangka buruk. Si isteri pula janganlah memusnahkan amanah dan kepercayaan yang diberi.
6. Bertanggungjawab
Rajin, berpemikiran luas dan tidak memakan harta perempuan. Lelaki begini adalah ciri-ciri lelaki yang tidak pemalas, inginkan kemajuan serta tidak mengharapkan titik peluh isteri. Mungkinlah pendapat ‘memakan harta perempuan’ di sini adalah sepertinya seorang suami yang tidak melakukan apa-apa dengan bersenang-senangan semata-mata. Dan menghabiskan harta isterinya dalam jalan mungkar, syahwat dan sia-sia pula.
Allah سبحانه وتعالى sangat tidak menyukai manusia yang hanya bertawakal dan menyerah diri tanpa usaha sedangkan kejayaan dicapai melalui usaha yang semaksima mungkin.
Namun begitu suami boleh menggunakan harta si isteri dengan kerelaannya bukan berdasarkan niat mengambil kesempatan. Dan seperti yang kita ketahui juga Khadhijah r.ha. telah menghabiskan hartanya demi membantu suaminya (Rasulullah ﷺ) dalam menegakkan agama suci, Islam.
Khadijah r.ha. diriwayatkan telah membuka isi hati kepada suaminya dengan ucapan: “Wahai Al-Amiin, bergembiralah! Semua harta kekayaan ini baik yang bergerak maupun yang tidak bergerak, yang terdiri dari bangunan-bangunan, rumah-rumah, barang-barang dagangan, hamba-hamba sahaya adalah menjadi milikmu. Kamu bebas membelanjakannya ke jalan mana yang kamu redha!”
Dan sebagaimana Firman Allah سبحانه وتعالى: وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَىٰ ﴿٨﴾
“Dan Dia (Allah) mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kekayaan.” (Surah Adh-Dhuhaa: Ayat 8)
7. Mudah Memaafkan
Sifat mudah memaafkan ini adalah sebahagian daripada sifat terpuji Rasulullah ﷺ ketika menegakkan agama Islam. Oleh itu suami bertanggungjawab sepenuhnya kepada isteri dan anak.
8. Berketurunan Baik Dan Rajin Beribadah
Datang daripada keturunan orang yang baik-baik lagi rajin beribadah. Mempunyai akhlak dan budi bahasa mulia serta sangat menghormati orang tua, berpegangan agama lagi rajin beribadah dan tidak berpenyakit keturunan seperti gila atau penyakit merbahaya yang boleh membawa kepada kesengsaraan hidup.
Apa yang lebih utama dari segala huraian di atas ialah Agamanya. Pilihlah yang beragama dan teguh dengan pegangan Islam ini. Tidak mengapa jika calon suami itu terkurang sedikit dari segi keduniaannya, tetapi lebih dari segi agamanya.
Firman Allah سبحانه وتعالى:
…إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Bahawasanya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujuraat 49: Ayat 13)
Syarat bagi seorang lelaki untuk masuk syurga menjadi anak yang soleh kepada ibu bapanya manakala syarat bagi wanita pula menjadi isteri yang solehah kepada suaminya yang akan membawanya ke syurga kelak. Inilah ciri terpenting dalam memilih calon suami yang beriman sebagai ketua dan pemimpin dalam mendidik isterinya dan seterusnya mentarbiyahkan anak mengikut lunas-lunas syarak.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
Comments